Wednesday, August 27, 2008

Bersyukurlah...

Hari ini aku pulang lewat kerana selepas tugasan mengajar, aku harus menyertai mesyuarat untuk Program Malam Munajat Dan Pohon Restu Ibu Bapa yang akan dilaksanakan pada malam lusa... Sesampai sahaja di rumah, anak-anak sudahpun terlebih dahulu tiba di rumah dihantar oleh van sekolah. Kepulanganku di sambut di pintu kereta dengan pelbagai kerenah, keletah dan cerita yang tak putus-putus... Masuk ke rumah, tak sempat lagi untuk duduk-duduk menghilangkan penat.... terus solat, menuju ke dapur untuk menyediakan makan malam untuk keluarga... kemudian angkat pakaian, hidangkan makanan, kemas itu-ini... dahpun maghrib... Lepas solat, pastikan anak-anak mengaji, buat kerja rumah, dan menyediakan persiapan untuk ke sekolah esok... Jantungku terasa pantas berdegup kerana terlalu penat dan mengah... tetapi, aku harus kuat-kuatkan diri kerana anak-anak masih kecil dan masih memerlukan aku.Aku perlu untuk terus sihat walau dalam apa keadan sekalipun apatah lagi suamiku bertugas jauh dari tempat tinggalku, maka urusan anak-anak memang seratus peratus terletak di bahuku... Jadi, aku harus untuk sentiasa kuat dan sihat... Aku tak mahu mengeluh... Malah, sewajarnya aku harus memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana diberi kesempatan untuk mempunyai keluarga yang bahagia, anak-anak yang baik... kehidupan yang sempurna... Sesungguhnya keletihan dan kelelahan ini bererti aku telah melaksanakan tanggung jawab dan menunaikan amanah sepanjang hari.Dan, hidup akan lebih bahagia jika kita dapat menikmati apa yang kita miliki...Maka jauh di sudut hati, aku memujuk diri..."bersyukurlah untuk masa-masa sulit dan kesukaran yang terpaksa ditempuhi kerana saat-saat itu menjadikan kita manusia yang kuat. Bersyukurlah untuk segala keterbatasan kita, kerana hal itu memberikan kita kesempatan untuk berkembang. Bersyukurlah untuk setiap tentangan dan cabaran baru kerana itu akan menjadikan kita lebih dewasa.... Bersyukurlah untuk masalah-masalah dan kesukaran-kesukaran kerana itu semua akan menjadi satu keberkatan dan kekuatan!"

Tuesday, August 26, 2008

Matlamat Hidup

Semasa aku kanak-kanak dulu... ada satu rutin yang begitu menjadi kegemaranku setiap hari. Setiap hari dalam kepenatan daripada berjalan kaki pulang dari sekolah sejauh lebih kurang 2 km, tiada lain yang lebih mendamaikan bagiku, selain daripada terus menuju ke arah aquarium, dan berteleku di hadapan kaca bulat aquarium itu.... memerhati ikan-ikan emas, pelaga dan ikan guppy yang berenang-renang riang... Sesekali aku campakkan butir-butir makanan ikan, dan aku terhibur melihat mulut-mulut comel itu merenyut-renyut merebut makanan. Entah mengapa, rutin itu menjadi satu kemestian untukku melepaskan lelah.. Seolah-olah hilang rasa penatku apabila memerhati liuk lintuk ikan-ikan itu berenang dan bermain-main sesama sendiri. Alangkah damainya... alangkah tenangnya tenggelam bersama keriangan ikan-ikan itu... Hari ini, apabila aku mengenangkan semula peristiwa itu, aku kembali membayangkan ikan-ikan yang berenang-renang itu.... saban hari ikan-ikan itu berenang tidak kira waktu. Pagi, petang, siang dan malam... ikan-ikan itu terus berenang tanpa jemu... namun ikan-ikan itu hanya dapat berpusing-pusing di situ tanpa arah tuju.... ikan-ikan itu berenang dan berenang tetapi tidak dapat sampai ke mana-manapun... Manusia yang hidup tanpa matlamat yang jelas, tanpa cita-cita, tanpa hala tuju, tanpa objektif yang nyata.... hanyalah ibarat ikan-ikan yang berenang-renang di dalam aquarium... Selama manapun dia hidup, walau apapun yang dilakukan, dia tak akan dapat mencapai apa-apapun dalam hidupnya kerana dia sebenarnya tidak tahu apa yang hendak dicapai dan apa yang hendak dikecapi dalam hidup. Justeru, ayuh kita lengkapkan diri dengan matlamat yang jelas, sediakan perancangan dan tetapkan hala tuju. Kerana kita sebenarnya adalah juruterbang yang perlu membuat segala persiapan untuk mengemudi pesawat kita menuju destinasi kemenangan.

Salam Perkenalan

Hari ini merupakan hari pertama aku menulis di dalam blog ini. Sebagai seorang guru, sebenarnya masa terluang tidaklah begitu banyak. Namun, aku berhasrat untuk menyampaikan satu cerita indah dari hati setiap hari untuk tatapan semua pembaca agar kisah-kisah itu dapat dikongsikan bersama untuk menjadi renungan dalam penghidupan.