Tuesday, August 26, 2008

Matlamat Hidup

Semasa aku kanak-kanak dulu... ada satu rutin yang begitu menjadi kegemaranku setiap hari. Setiap hari dalam kepenatan daripada berjalan kaki pulang dari sekolah sejauh lebih kurang 2 km, tiada lain yang lebih mendamaikan bagiku, selain daripada terus menuju ke arah aquarium, dan berteleku di hadapan kaca bulat aquarium itu.... memerhati ikan-ikan emas, pelaga dan ikan guppy yang berenang-renang riang... Sesekali aku campakkan butir-butir makanan ikan, dan aku terhibur melihat mulut-mulut comel itu merenyut-renyut merebut makanan. Entah mengapa, rutin itu menjadi satu kemestian untukku melepaskan lelah.. Seolah-olah hilang rasa penatku apabila memerhati liuk lintuk ikan-ikan itu berenang dan bermain-main sesama sendiri. Alangkah damainya... alangkah tenangnya tenggelam bersama keriangan ikan-ikan itu... Hari ini, apabila aku mengenangkan semula peristiwa itu, aku kembali membayangkan ikan-ikan yang berenang-renang itu.... saban hari ikan-ikan itu berenang tidak kira waktu. Pagi, petang, siang dan malam... ikan-ikan itu terus berenang tanpa jemu... namun ikan-ikan itu hanya dapat berpusing-pusing di situ tanpa arah tuju.... ikan-ikan itu berenang dan berenang tetapi tidak dapat sampai ke mana-manapun... Manusia yang hidup tanpa matlamat yang jelas, tanpa cita-cita, tanpa hala tuju, tanpa objektif yang nyata.... hanyalah ibarat ikan-ikan yang berenang-renang di dalam aquarium... Selama manapun dia hidup, walau apapun yang dilakukan, dia tak akan dapat mencapai apa-apapun dalam hidupnya kerana dia sebenarnya tidak tahu apa yang hendak dicapai dan apa yang hendak dikecapi dalam hidup. Justeru, ayuh kita lengkapkan diri dengan matlamat yang jelas, sediakan perancangan dan tetapkan hala tuju. Kerana kita sebenarnya adalah juruterbang yang perlu membuat segala persiapan untuk mengemudi pesawat kita menuju destinasi kemenangan.

No comments: