Tuesday, September 9, 2008

Setiap Hari Adalah Hadiah Daripada Allah SWT

Saya ada satu cerita yang sangat menyentuh hati.
Di dalam sebuah bilik wad yang terdapat 2 katil di sebuah hospital yang terkemuka, tinggallah 2 orang pesakit kanser yang sudah tua sedang mendapat rawatan rapi di situ. Seorang pesakit hanya mampu terbaring di katil, namanya Pak Cik Amin, mana kala seorang lagi di tempatkan di katil sebelah tingkap bernama Pak Cik Rizal.Setiap hari Pak Cik Rizal akan duduk-duduk di tepi tingkap menyedut udara segar dari luar dan menikmati pemandangan luar yang luas dan bebas.
Pak Cik Amin tidak mampu berbuat apa-apa di katilnya selain daripada mengenangkan peristiwa-peristiwa yang telah dilaluinya, perniagaannya yang bangkrap,keluarganya yang menyisihkannya, dan kesedihan-kesedihan yang ditanggungnya sendirian. Kadang-kala dia hanya mampu mengeluh dan menangis tersedu-sedu.
Melihatkan hal itu, Pak Cik Rizal selalu menghiburkannya dengan cerita-cerita dari pemandangan luar tingkap yang dapat disaksikannya. Setiap hari Pak Cik Rizal bercerita tentang kolam yang biru, tentang itik-itik yang berenang di kolam, tentang ikan-ikan yang melompat-lompat, tentang awan yang berbentuk dalam pelbagai bentuk,tentang pokok-pokok yang menghijau, tentang bunga-bunga yang berwarni-warni.... Dan banyak cerita-cerita menarik yang disaksikan di luar tingkap menjadi penghibur mereka berdua. Kadang-kala Pak Cik Rizal bercerita tentang pasangan suami-isteri yang sudah lanjut usia tetapi si isteri sedang sarat mengandungkan anak sedang bergandingan tangan berjalan di tepi kolam, kisah seorang pak ck yang yang tertanggal gigi palsunya ketika makan bungkusan ayam KFC, kisah budak-budak sekolah yang berlari-lari mengejar rama-rama dan pelbagai cerita yang lucu dan menarik... Cerita-cerita itulah yang menjadi hiburan mereka saban hari....
Pada satu subuh yang hening,jururawat yang memeriksa pesakit terkejut apabila mendapati Pak Cik Rizal sudahpun menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur yang panjang... Pak Cik Amin sungguh sedih dan berasa kehilangan... Dia meminta izin jururawat untuk berpindah katil agar dapat duduk di tepi tingkap supaya dia dapat menjengok keluar untuk menghiburkan hati.
Setelah katilnya dipindahkan, dia mula memandang keluar tingkap. Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pemandangan di luar tingkap itu sungguh gelap dan hanya terdapat tembok-tembok bangunan yang tinggi dan menyekat terus pemandangan. Dalam hatinya berbaur berjuta persoalan...
EPILOG
Dalam keadaan apa sekalipun, kita sebenarnya mampu untuk rasa bahagia dan membahagiakan orang lain. Kerana kegembiraan dan kebahagiaan sebenarnya datang dari jauh di sudut hati, lahir dari dalam minda dan gambaran pemikiran... Pemikiran kitalah sebenarnya yang membentuk pandangan kita terhadap hidup. Usaha membahagiakan orang lain adalah usaha yang sangat murni. Setiap hari adalah hari yang indah. Setiap hari adalah hadiah daripada Allah SWT untuk kita hargai sebaik-baiknya....

No comments: