Wednesday, September 3, 2008

Setiap Hari Adalah Hari Yang Indah

Aku sering mengunjungi kedai bunga yang terletak tidak jauh dari rumahku. Aku cukup terhibur apabila dikelilingi bunga-bunga indah… Aku memang menyukai sesuatu yang segar, yang indah, yang harum… “Adik, cuba adik pilih bunga-bunga anggerik yang pelbagai warna ini. Bunga anggerik memang asalnya bunga hutan, tetapi juga cantik jika disusun di dalam pasu. Bunga anggerik lambang semangat untuk menjalani hidup.” Aku tertegun mendengar kata-kata itu. Seakan aku rasakan ada sesuatu yang perluku pelajari daripadanya. Lalu kata-kata itulah yang menjadi titik kemesraan dan persahabatan akrab antara aku dengan seorang wanita penjual bunga. Ayu namanya.
Minggu berganti minggu, aku terus menjadi pengunjung setia kedai bunga Ayu. Namun selang empat bulan kemudian, Ayu sudah tidak lagi kelihatan menyambut kedatanganku. Aku tidak dapat temui Ayu di mana-manapun lagi. Hatiku tertanya-tanya, “ke mana perginya Ayu.” Entah mengapa, aku tiba-tiba rindu pada kemesraan yang terpancar dari sinar mata Ayu. Aku juga rindu pada celotehnya tentang bunga-bungaan di kedainya itu. Aku rindu untuk mendengar cerita Ayu tentang bunga mawar merah simbol cinta agung, tentang mawar peach simbol penghargaan, mawar putih lambang kepercayaan, bunga carnation untuk mengubati kesedihan, bunga matahari sebagai tanda perhatian, bunga tulip untuk mengungkapkan rasa cinta yang mula berputik…. Aku juga rindu untuk mendengar cerita Ayu tentang keseronokan mengembirakan seseorang dengan bunga…. Entah mengapa, tiba-tiba aku merasakan satu kehilangan tanpa Ayu di kedai bunga itu.
Aku terkedu apabila diberitahu oleh pembantu kedai bunga itu bahawa Ayu sekarang sedang berperang dengan maut! Ayu baru saja menjalani pembedahan membuang rahimnya kerana kanser tahap tiga dan sekarang masih dalam keadaan kritikal di hospital. Perlahan-lahan aku panjatkan doa semoga Ayu cepat sembut dan tabah menghadapi ujian ini.
Tiga bulan kemudian, sewaktu aku mengunjungi kedai bunga itu, aku seakan tidak percaya apabila melihat Ayu telah kembali berada di kedai bunganya. Ayu masih seperti selalu. Menyapaku dengan mesra. Ayu masih seperti dulu. Tidak pernah jemu berceloteh tentang bunga-bunganya … Aku seolah tidak dapat mengesan ada kesakitan dari riak wajahnya. Yang kuihat, Ayu adalah seorang wanita tabah, wanita cekal yang cukup positif memandang hidup. Aku bertanyakan kepadanya, bagaimana dia menghadapi semua ini… Kata Ayu, “Kerana aku memilih untuk hidup.” Katanya lagi, “Pasukan pakar bedah itu memang hebat. Mereka terus-terusan mengatakan bahawa aku akan sembuh. Tapi, sewaktu mereka mahu memberikan ubat pelali sebelum memulakan pembedahan,aku melihat ekspresi wajah dan pancaran mata doktor dan jururawat seolah berkata “Orang ini akan mati.” Aku tahu,aku harus mengambil tindakan. Aku lantas mengatakan kepada mereka, aku memilih untuk hidup. Jadi, tolong melakukan pembedahan terhadapku seperti selayaknya orang yang akan hidup beribu tahun lagi, bukannya orang yang akan mati.”
Ayu dapat terus hidup kerana keizinan Allah s.w.t, kepakaran para doktor, dan juga kerana sikapnya yang mengagumkan. Aku belajar dari Ayu bahawa setiap hari kita dapat memilih apakah kita akan menikmati hidup atau membencinya. Seperti Ayu, dia seorang yang cukup hebat. Baginya, kehidupan ini terlalu berharga dan sangat berharga. Setiap waktu, dia akan menghargai dan menyayangi kehidupannya. Dia sentiasa gembira kerana dapat menghabisi hidup dengan mengembirakan orang lain dengan bunga-bunganya. Keharuman, kesegaran dan keindahan bunga-bunga adalah lambang kehidupan, pengharapan dan kegembiraan yang ingin dikongsikan bersama orang lain….
Sesungguhnya hidup adalah sebuah pilihan. Saat kita membuang seluruh masalah, kita sebenarnya memilih untuk menghadapi kehidupan dengan senyuman. Setiap keadaan adalah sebuah pilihan. Kita memilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap semua keadaan. Kitalah yang memilih untuk berada dalam keadaan yang baik atau buruk. Semua itu adalah pilihan kita.
Setiap pagi, saat aku bangun dari tidur, aku akan berkata pada diri bahawa, aku punya dua pilihan hari ini. Aku boleh memilih sama ada untuk berada di dalam suasana yang baik atau sebaliknya. Aku selalu memilih untuk berada dalam suasana yang baik. Setiap kali sesuatu yang tidak diingini terjadi, aku belajar untuk mencari hikmat di sebalik semua kejadian. Aku selalu memilih untuk belajar dari hal itu. Setiap kali ada seseorang menyampaikan keluhan, aku akan cuba mencari sudut positifnya. Kerana apapun yang kita rasai dan alami adalah sebenarnya bergantung kepada apa yang kita percayai. Jika kita mahukan yang positif, yang baik dan yang membahagiakan,kita harus memikirkan tentangnya dan menuju ke arah apa yang kita fikirkan…
Dan, aku akan selalu menghiasi kamar dengan kuntuman anggerik kerana anggerik adalah lambang semangat untuk hidup dengan lebih berani!

No comments: